LUMUT – Dua nelayan Indonesia yang hanyut selama tiga hari dekat Pulau Jarak iaitu kira-kira 72 kilometer (km) barat Kuala Perak di sini diselamatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) lewat malam semalam.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam kenyataannya berkata, bot nelayan yang berasal dari Tanjung Balai, Indonesia tersebut telah berada di laut sejak 19 Jun lalu.
Katanya, ia yang berada di laut untuk menangkap ikan mengalami kerosakan pada enjin bot pada pagi Sabtu lalu menyebabkan bot hanyut dan terpaksa dikendalikan secara manual.
“Dua individu yang juga awak-awak bot tersebut masing-masing berumur 23 dan 25 tahun berada dalam keadaan keletihan setelah berada dalam bot selama tiga hari dengan keadaan laut yang agak bergelora.
“Mereka bagaimanapun berjaya membawa bot tersebut menghampiri Pulau Jarak yang terletak pada kedudukan 72km di barat Kuala Perak pada tengah malam Selasa sebelum dibantu oleh kru Stesen Jarak TLDM,” katanya di sini hari ini.
Katanya, atas dasar kemanusiaan, selain memberi bantuan dan perlindungan sementara, kru Stesen Jarak TLDM turut membekalkan nelayan berkenaan dengan bekalan makanan dan bantuan asas lain.
Ujarnya, bot yang mengalami kerosakan enjin juga telah dapat dibaiki dengan bantuan kru Stesen Jarak TLDM.
“Maklumat berkaitan kejadian telah dipanjangkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak untuk tindakan lanjut. Bot yang telah dibaiki ini akan diiringi keluar perairan negara oleh KM Malawali,” katanya. – KOSMO! ONLINE