SEPANG – “Kali pertama saya terperangkap ialah semasa Perang Iran-Iraq, 40 tahun lalu. Kali ini, saya datang semula untuk berhari raya dan sekali lagi, saya terperangkap. Peperangan kali ini jauh lebih teruk.”
Itu luahan penuh emosi Dr. Suraiya Mohd. Ali, 72, salah seorang daripada 24 individu yang selamat tiba di tanah air malam tadi setelah terkandas di Iran susulan konflik yang semakin meruncing di negara Asia Barat itu.
Dr. Suraiya bersama suaminya berada di Iran sejak 13 Jun lalu untuk menyambut Aidiladha dan menziarahi pusara keluarga di sana.
Namun, dia berkata, penerbangan pulang mereka yang dijadualkan pada 18 Jun dibatalkan dan lapangan terbang ditutup secara mengejut.
“Kami berada di Shiraz ketika itu. Suami saya cuba cari jalan keluar, termasuk ke Dubai, tetapi situasi tidak menentu. Alhamdulillah kami kemudian dimaklumkan Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra sedang berusaha membawa kami keluar.
“Malam sebelum evakuasi, kami menaiki bas selama hampir 15 jam ke Tehran. Pagi Jumaat, pukul 6 pagi, kami berkumpul di kedutaan. Dua hari di dalam bas, tetapi layanan staf kedutaan seperti keluarga,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Pengalaman ini mengimbas kembali kenangan lama buat Dr. Suraiya yang pernah tinggal di Iran seketika dahulu selepas tamat pengajian dan berkahwin.
“Waktu itu pun ada perang (Iran-Iraq) dan saya terpaksa balik ke Malaysia sebab anak kecil. Kini selepas 40 tahun, perang sekali lagi dan saya terperangkap.” katanya.
Turut berkongsi kegembiraan Fadhli Yusni, 33, seorang peniaga restoran yang menyambut kepulangan isterinya, Zainab Ganood, yang berasal dari Mashhad, Iran.
Ujarnya, isterinya pulang ke Iran awal bulan ini untuk menziarahi ibu bapanya, namun gagal kembali ke Malaysia apabila konflik tercetus dan ruang udara ditutup.
“Selama 10 hari saya tak tentu arah. Setiap hari saya tengok berita dan tunggu telefon berbunyi. Sukar nak hubungi isteri, panik. Tapi malam ini, bila dia selamat tiba, saya sangat bersyukur,” katanya.
Fadhli berkata dia kini masih berhubung dengan Kedutaan Malaysia untuk membantu membawa keluar ahli keluarga isterinya yang lain yang masih terkandas di Iran.
Seorang lagi yang dievakuasi ialah Mina Shahbedini, 73, warga Iran yang menyertai operasi khas ini untuk bersatu semula dengan anak perempuan dan cucu lelakinya yang menetap di Malaysia.
“Saya keseorangan di Iran. Keadaan sangat menekan. Tapi saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia serta kedutaan yang membantu saya keluar dan sampai ke tempat yang selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE