BANGKOK – Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra merombak Kabinet Thailand hari ini ketika krisis politik dan kehakiman yang dicetuskan oleh panggilan telefon yang bocor mengancam untuk meruntuhkan kerajaannya.
Anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra berumur 38 tahun itu mengisi kekosongan jawatan menteri selepas parti politik utama dalam kerajaan campuran Thailand meletak jawatan minggu lalu, tindakan yang hampir menjatuhkan kerajaan pimpinan beliau.
Paetongtarn yang mentadbir Thailand kini berdepan Mahkamah Perlembagaan yang boleh menyebabkan beliau dipecat.
Beliau berdepan gesaan untuk meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya pada minggu lalu apabila pengkritik-pengkritik menuduhnya memburukkan nama negara dan menghina tentera semasa perbualan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen bagi menyelesaikan isu pertikaian sempadan.
Parti konservatif, Parti Bhumjaithai keluar daripada kerajaan campuran diketuai oleh parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn berikutan kontroversi tersebut, menyebabkan Paetongtarn hanya mempunyai majoriti tipis.
Namun, rakan pakatan lain menyatakan akan kekal bersama Pheu Thai dengan setiausaha agung parti berkenaan, Sorawong Thienthong memberitahu AFP hari ini bahawa kesemua 10 parti yang tinggal memilih kekal dengan kerajaan.
“Tiada parti lain menarik diri, parti selebihnya kekal bersatu dengan kerajaan.
“Perdana menteri telah membincangkan rombakan itu dengan pemimpin-pemimpin politik lain,” kata Sorawong.
Barisan kabinet baharu itu akan dimuktamadkan Jumaat ini tetapi beberapa sumber berkata, perubahan ketara dijangka berlaku melibatkan portofolio penting termasuk kementerian pertahanan ketika pertikaian sempadan dengan Kemboja semakin bergelora.
Dengan kehilangan Bhumjaithai, kerajaan mempunyai majoriti tipis daripada 248 undi yang diperlukan di Parlimen, menjadikannya sangat terdedah.
Walaupun Paetongtarn berjaya mengatasi krisis Parlimen, ancaman lebih besar dijangka muncul di Mahkamah Perlembagaan.
Sekumpulan senator konservatif mengemukakan petisyen meminta mahkamah memecat Paetongtarn berhubung kelakuannya dalam panggilan telefon bersama Hun Sen.
Mahkamah sama memecat pendahulu Paetongtarn, Srettha Thavisin, dalam kes etika pada Ogos tahun lalu. – AFP