MONACO – Faktor usia Lewis Hamilton kini mula menjadi kekangan dalam usahanya mengejar kejuaraan kelapan bersama Ferrari selain prestasi jentera SF-25 yang terus gagal menyaingi pencabar utama.
Selepas 10 perlumbaan, Ferrari ketinggalan 191 mata di belakang McLaren dengan semua podium musim ini disumbangkan oleh Charles Leclerc, manakala Hamilton masih belum berjaya untuk menaiki podium dalam perlumbaan utama.
Bekas pelumba Ferrari, Rene Arnoux mengakui Hamilton tidak lagi mampu bersaing secara konsisten tanpa jentera dominan selain menyifatkan faktor usia sebagai kekangan utama buat juara dunia tujuh kali itu.
“Hamilton tetap mencuba, tapi pada usia 40 tahun, bukan mudah menahan beban fizikal yang diperlukan kereta F1 moden.
“Untuk kekal setanding, dia perlukan kereta yang jauh lebih pantas. Tapi, itu bukan situasi Ferrari sekarang,” katanya.
Hamilton berpindah ke Ferrari dari Mercedes dengan harapan mengakhiri kemarau gelaran, namun setakat ini keputusan paling tinggi diraihnya hanyalah tempat keempat, manakala kemenangan hanya hadir menerusi aksi sprint.
Jentera SF-25 turut berdepan isu teknikal termasuk masalah lantunan yang menyaksikan Hamilton disingkirkan daripada GP China susulan kehausan skid block melebihi had selepas ketinggian jentera dinaikkan melepasi reka bentuk asal.
Tekanan ke atas prinsipal pasukan Fred Vasseur juga kini memuncak dengan beberapa laporan mendakwa Ferrari sedang menilai pengganti termasuk Antonello Coletta dan bos Red Bull, Christian Horner. – AGENSI