NEW JERSEY – Pasukan Fluminense terus mengharumkan nama liga bola sepak Brazil apabila melakar kemenangan 4-2 ke atas jaguh Korea Selatan, Ulsan HD pada aksi Kumpulan F saingan Piala Dunia Kelab awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad Tricolor itu meraih gol menerusi jaringan Jhon Arias, Nonato, Juan Pablo Freytes dan Keno manakala Lee Jin-hyun dan Um Won-sang meledak gol saguhati buat pasukan Ulsan HD.
Keputusan itu menyaksikan semua empat kelab Brazil termasuk Palmeras, Flamengo dan Botafogo masih belum ditewaskan pada semua aksi peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab setakat ini.
Arias mengakui teruja dapat membantu pasukan melakar keputusan positif walaupun ketinggalan 1-2 selepas berakhir separuh masa pertama.
“Pada babak pertama, kita tidak bermain dengan baik tetapi semua pemain kekal fokus kerana kita percaya kita mampu raih keputusan positif.
“Kini, peluang untuk lolos ke pusingan kalah mati semakin cerah, tetapi kita kena tewaskan Mamelodi Sundowns pada aksi terakhir nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon memohon maaf kerana keputusan tersebut menyaksikan pasukannya tersingkir seawal peringkat kumpulan pada kejohanan berprestij ini.
“Kita telah beraksi dengan baik tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan. Sekarang kita tiada peluang untuk ke pusingan kalah mati tetapi kita mahu berikan yang terbaik bertemu Borussia Dortmund,” katanya. – AGENSI