JAKARTA – Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila dia melayang tinggi di udara ketika cuba menerbangkan sebuah layang-layang gergasi, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video kejadian yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @ski.ski33 menunjukkan budak terbabit sedang bermain layang-layang bersama rakan-rakannya dalam kejadian di Indonesia baru-baru ini.
Situasi ceria bertukar tegang apabila dia ‘diterbangkan’ ke udara sambil berpaut pada tali layang-layang.
Selain badannya yang kecil, angin kencang menyebabkan dia melayang ke udara.
Dia bagaimanapun terselamat selepas layang-layang itu mendarat ke atas tanah secara perlahan-perlahan.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
Sebilangan pengguna media sosial turut memberi amaran kepada ibu bapa untuk sentiasa memerhati anak mereka ketika bermain layang-layang. – AGENSI