TOKYO – Bintang tenis Jepun, Kei Nishikori meminta maaf secara terbuka kepada isteri dan dua anaknya berikutan laporan dia menjalin hubungan sulit dengan seorang model, lapor portal berita VNExpress semalam.
Hubungan sulit itu terbongkar selepas Nishikori dirakam melawat apartment model terbabit, Azuki Oguchi, minggu lalu.
Hubungan sulit mereka berlangsung selama setahun, demikian menurut majalah Shukan Bunshun.
Nishikori tampil bersama kenyataan: “Saya memohon maaf kerana menyebabkan ketidakselesaan kepada semua yang menyokong saya termasuk peminat, persatuan, penaja dan pihak lain berkaitan kebimbangan dan kesulitan akibat sikap saya yang tidak jujur.
“Saya sangat menyesal kerana membuatkan isteri dan anak-anak kecewa,” katanya.
Atlet berumur 35 tahun itu memberitahu, dia ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada sukan tenis dan matlamatnya bagi mendapatkan semula kepercayaan orang ramai, selain menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dan bapa yang baik.
Nishikori berkahwin dengan aktres, Mai Yamaguchi pada 2020 selepas lima tahun berpacaran. Mereka mempunyai dua anak masing-masing berumur empat dan satu tahun.
Nishikori didakwa pertama kali bertemu dengan Oguchi di Honolulu, Hawaii pada 2022.
Hubungan sulit mereka dikatakan berakhir selepas diketahui oleh teman lelaki Oguchi, namun mereka kembali bersama pada 2024. – AGENSI