fbpx

APMM, JCG jalani latihan bersama jenayah rentas sempadan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shikata (sembilan dari kiri), Mohd. Zawawi (lapan dari kiri) dan Kanosue (lima kanan) pada sesi lawatan kapal peronda JCG, MIZUHO di Terminal Kapal Persiaran Klang, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!
KLANG – Jenayah rentas sempadan termasuk rompakan laut dan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) antara latihan akan dilakukan dalam memperkukuhkan kerjasama antara Maritim Malaysia (APMM) dan Japan Coast Guard (JCG).
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, latihan selama empat hari bermula hari ini selaras dalam menghadapi cabaran serantau yang semakin kompleks dan mencabar.
Katanya, kehadiran kapal peronda JCG iaitu MIZUHO juga adalah simbol kepercayaan Jepun terhadap keupayaan Maritim Malaysia sebagai rakan penting di rantau ini.
“Kedua-dua agensi bukan sahaja akan berkongsi pengalaman dan kepakaran, tetapi mencari kata sepakat bersatu demi keselamatan perairan serantau.
“Kerjasama antara kapal JCG, Mizuho dan Kapal Maritim (KM) Banggi adalah latihan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang terutamanya melibatkan jenayah rentas sempadan, rompakan laut di samping melibatkan aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang lain dalam zon kita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki serta Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki hadir pada sesi lawatan kapal Peronda JCG, MIZUHO di sini, hari ini.
Mohd. Zawawi turut memaklumkan siri latihan turut melibatkan teknik penahanan (Arresting Technique Training) dan latihan Long Range Acoustic Device dengan kerjasama dengan JCG telah terjalin sejak 2006.
Mengulas lanjut mengenai kes rompakan di laut di negara ini, kata beliau, terdapat insiden berskala kecil yang direkodkan di perairan Selat Melaka antaranya melibatkan besi buruk.
“Berdasarkan rekod sejak 2017, tiada rompakan laut (besar-besaran). Kita berjaya atasi dengan sewajarnya,” jelasnya.
Sementara itu, Kanosue berkata, lawatan itu selaras aspirasi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bagi memperkukuhkan kerjasama kedua-dua agensi itu.
“Pada Januari lalu, Shigeru telah mengadakan lawatan ke Malaysia dan telah menyatakan kepentingan kerjasama pengawalan pesisir pantai antara Maritim Malaysia dan JCG.
“Ini adalah lawatan pertama MIZUHO seterusnya berharap berkongsi kemahiran seterusnya mengukuhkan kepercayaan serta hubungan antara kedua-dua agensi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI