PETALING JAYA – Sekumpulan warga asing menjadikan kediaman mewah sebagai ‘sarang’ dipercayai untuk menjalankan penipuan dalam talian.
Kegiatan itu berjaya dikesan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua lokasi kediaman di Kajang dan Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat dan risikan selama dua minggu.
“Dalam serbuan itu, JIM telah menahan seramai empat lelaki, tiga wanita dan satu kanak-kanak perempuan warga China serta satu lelaki warga Taiwan berusia di antara empat hingga 43 tahun.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya juga mengeluarkan sebanyak tujuh saman kepada saksi sepanjang operasi dijalankan.
Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE