PETALING JAYA – Rakan baik iaitu Muhammad Sajjad dikatakan bakal menunaikan umrah dengan penampilan sempurna, pempengaruh dan usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri menasihati orang ramai agar tidak menjatuhkan hukuman membuta tuli.
Malah, Aliff, 38, meninggalkan pesanan buat Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Sajat untuk tidak memuat naik apa-apa kandungan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Dia nak pergi umrah ke nak pergi haji ke, itu hal dia dengan Allah. Kita sebagai seorang hamba-Nya, jangan mudah menghukum.
“Apa yang dia nak pakai atau buat, kita hanya mampu menasihati dia tapi lebih afdal keluarganya (bagi nasihat). Jangan hina atau mudah menghukum orang.
“Ingin saya nasihatkan, kalau dia pergi janganlah muat naik (dalam media sosial) sebab kalau dia buat, akan ada orang yang senang dan ada juga orang yang tak senang dengannya,” katanya dalam siaran langsung TikTok.
Berkongsi lanjut, Aliff mengakui sentiasa berkomunikasi dengan Sajat yang sering meluahkan rasa rindu untuk pulang ke kampung halaman.
“Setahu saya, dia bukan lagi warganegara Malaysia. Kami selalu berhubung juga.
“Dia sedih dan bila dia telefon saya, mesti menangis sebab teringin nak balik Malaysia.
“Pada saya ramai lagi yang buat benda tak senonoh. Mungkin dia terlanjur dan tak mahu mengulangi kesilapan, bantulah dia untuk balik Malaysia,” ujar pelantun lagu Abang Nak Tegur itu.
Aliff juga meluahkan rasa bimbang apabila Sajat berada di luar negara yang akan mendorongnya melakukan perkara tidak elok.
Dia juga menyeru orang ramai untuk mendoakan yang baik buat Sajat selain membantu mengubah ke arah yang lebih baik.
“Kita sebagai rakyat Malaysia mungkin boleh membantu dia ke arah kebaikan.
“Saya takut kalau dia dekat sana, dia akan lagi hanyut. Dekat negara sana, semuanya boleh (buat) dan kita kena doakan yang baik-baik untuknya.
“Masa dia buat siaran langsung, janganlah kecam dia, doakan yang baik. Kadang-kadang kita tengok orang jahat tapi sebenarnya dialah yang paling baik,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Sajat meluahkan hasrat menunaikan umrah pada tahun hadapan dan mahu berpakaian seperti seorang lelaki.
Pada tahun 2020, Sajat pernah mencetuskan kontroversi apabila menunaikan umrah dengan penampilan wanita. – KOSMO! ONLINE