fbpx

Pertembungan kongsi gelap, 5 ditahan kes tembak Brickfields

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar CCTV yang tular menunjukkan seorang suspek melepaskan tembakan di luar restoran, manakala seorang mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dalam restoran.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes tembak yang mengakibatkan seorang lelaki mati manakala dua cedera di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields pada 13 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua individu telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil.

“Bagi kes di Cheras masih belum ada tangkapan dibuat dan masih dalam tindakan mengenalpasti suspek yang terlibat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.26 malam itu, mangsa bersama enam rakannya yang berada di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan diserang individu bersenjata api yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

Selang empat hari selepas kejadian, dua lelaki maut dalam satu lagi serangan tembak membabitkan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras pada 17 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, kedua-dua kes dipercayai bermotifkan pertembungan kumpulan kongsi gelap.

“Kedua-dua mangsa kes yang disiasat mempunyai latar belakang kumpulan kongsi gelap,” ujarnya.

Jelasnya, seramai 18 serta 20 saksi dirakam keterangan masing-masing bagi membantu siasatan kes Brickfields dan Cheras. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI