PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ketua Polis Negara ke-15, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail tidak pernah menjadi ahli atau memegang sebarang jawatan dalan parti politik seperti yang didakwa.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan sehingga menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“PDRM memandang serius kecuaian media dalam menerbitkan maklumat yang tidak disemak secara teliti dan telah mencalarkan reputasi pasukan serta individu.
“Etika kewartawanan seharusnya menuntut setiap laporan yang dikeluarkan perlu mendapat pengesahan fakta, proses semakan silang dan memiliki integriti dalam penulisan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, PDRM sentiasa berdiri di atas asas neutraliti, integriti dan profesionalisme.
Justeru katanya, PDRM tidak akan membiarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pasukan itu. – KOSMO! ONLINE