TEHRAN – Iran melancarkan 30 peluru berpandu ke atas beberapa lokasi di Israel termasuk Lapangan Terbang Ben Gurion selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga tapak nuklear milik Tehran.
“Gelombang ke-20 Operasi Janji Jujur 3 menggunakan gabungan peluru berpandu bahan api cecair dan pepejal jarak jauh dengan kuasa peledak yang memusnahkan.
“Sasaran itu termasuk lapangan terbang, pusat penyelidikan biologi, pangkalan logistik dan pelbagai lapisan pusat arahan dan kawalan,” kata angkatan tentera Iran dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Fars.
Sementara itu, portal berita Mehrnews melaporkan, gelombang ke-20 serangan Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ke atas ketenteraan dan industri Rejim Zionis telah pun bermula.
Laporan media tempatan menyebut bahawa bunyi letupan kedengaran di Haifa selepas diserang peluru berpandu sebelum ia mengaktifkan siren (amaran).
Beberapa sumber juga menyatakan terdapat letupan meluas di tanah yang dijajah Israel.
Bilangan penduduk yang cedera meningkat kepada 15 orang, dengan dua berada dalam keadaan kritikal, demikian menurut radio Tentera Israel.
“Seramai 20 orang terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan peluru berpandu Iran,” kata sumber itu.
IRGC melancarkan peluru berpandu hipersonik, Kheibar-Shekan, ke arah Israel buat kali pertama. – AFP/AGENSI