SUNGAI PETANI – Seorang guru wanita di sebuah pusat pendidikan prasekolah, dekat sini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai dirotan pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan di Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini pagi ini.
Proses reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan dua murid prasekolah berusia lima tahun didakwa mengalami lebam selepas dirotan seorang guru hanya kerana mereka dikatakan tidak bersungguh ketika latihan bola jaring pada Khamis lalu.- KOSMO! ONLINE