KOSMO! AHAD: Sepanjang Datuk menjadi pendakwah, apa cabaran terbesar diterima, adakah ceramah yang dibawa diterima atau sebaliknya?
USTAZ KAZIM: Saya mula berceramah pada 1990, namun peranan tersebut menjadi karier sepenuh masa bermula pada 1992 atau 1993 sehingga hari ini. Ini bermakna sudah lebih 30 tahun saya berceramah.
Tak dapat dinafikan memang banyak cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut antaranya diboikot bahkan kitab-kitab yang digunakan untuk berceramah seperti Kitab Muhimmah dihantar semula kerana lokasi ceramah itu enggan menggunakannya.
Ini mungkin disebabkan mereka yang berada di lokasi ceramah tidak bersetuju dengan fahaman kita. Pernah juga apabila saya mahu mengajar di satu lokasi, orang keluar beramai-ramai kerana enggan turut serta dalam sesi tersebut. Bahkan saya juga pernah diberhentikan daripada mengajar.
Waktu 1990-an antara paling mencabar bagi saya, mungkin kerana corak kuliah agama yang saya amalkan tidak kena dengan penduduk di satu-satu lokasi. Ini kerana saya tegas ketika berceramah dan mungkin pihak tersebut tidak sukakan kaedah sedemikian.
Mungkin disebabkan teguran-teguran dibuat itu menyentuh elemen kepartian, namun pada awal tahun 2000 saya mula mengubah kaedah kepada yang lebih santai dan kekeluargaan, menyentuh perkara berkaitan rumah tangga dan lebih mesra. Cara sedemikian mendapat sambutan orang ramai.
Adakah peralihan teknologi memberi impak kepada dakwah disampaikan Datuk?
Pada mulanya kuliah saya dijalankan secara langsung di masjid dan surau, kemudian mula mendapat capaian yang lebih meluas apabila kaset mula digunakan bermula 1996. Seterusnya sesi kuliah beralih kepada cakera padat (CD) atau cakera padat video (VCD).
Memang tidak dapat dinafikan sambutan daripada masyarakat bagus dan bukan hanya rakyat negara ini yang dapat mendengar kuliah saya, bahkan CD tersebut berjaya menembusi pasaran luar seperti Brunei, Singapura dan Australia.
Mereka yang memiliki CD kuliah tersebut memasangnya di lokasi seperti kedai-kedai makan, malah mereka yang menaiki bas ekspres pun dapat mendengarnya kerana ia turut dimainkan di dalam kenderaan awam.
Selepas itu, saya mula menerima undangan daripada stesen televisyen (TV), jadi pengaruh CD semakin kurang. Sejak itu, saya menyampaikan kuliah agama menerusi medium TV dan radio.
Sejak tahun 2010, saya mula aktif di platform Facebook, bahkan setahun kemudian saya ditempatkan di tangga kesembilan sebagai Fastest Rising People in Malaysia oleh Google.
Datuk juga pernah mendedahkan disihir ekoran ketidakpuasan hati pihak lain terhadap apa yang dilakukan. Boleh cerita sedikit mengenai pengalaman tersebut?
Apabila berceramah, saya tidak akan menyebut pun nama mana-mana individu. Apa yang saya sentuh ketika kuliah adalah mengenai hukum-hukum agama tetapi mungkin apa yang disentuh itu tidak disenangi oleh orang tertentu.
Pada 1997 saya mula disihir dan disantau. Walaupun tak berdarah, namun memang saya mengalami sakit teruk selama sebulan sehingga nak makan pun tak boleh, apatah lagi tidur.
Apabila saya mendapatkan rawatan di hospital, doktor beritahu saya terkena jangkitan virus, tetapi apabila dibenarkan pulang, makin lama keadaan menjadi makin teruk. Makan dan tidur memang tak boleh.
Sebagai ikhtiar bagi merawat keadaan diri, saya mula mendapatkan rawatan tradisional. Alhamdulillah, saya kembali sihat selepas sebulan dirawat dengan kaedah alternatif itu.
Sejak itu, saya berpantang dalam pemakanan. Makanan ‘tajam’ seperti tebu, limau nipis bahkan daging kambing saya tidak makan. Kalau saya jamah makanan-makanan itu, badan akan mula rasa miang dan pedih.
Bagaimana Datuk melalui ujian sihir tersebut sehingga sembuh seperti sekarang. Adakah Datuk disihir lagi selepas itu?
Saya berkali-kali terkena sihir. Pelbagai bentuk gangguan dihadapi. Apabila makan, makanan bertukar jadi ulat, malah ada sihir di rumah yang mengganggu keluarga saya.
Pada 2022, saya kena penyakit kulit dan busung. Saya juga masih tak boleh tidur malam sampai ke hari ini. Bagi merawat penyakit kulit itu, saya mendapatkan rawatan di hospital melibatkan 15 pakar.
Apa tanda-tanda yang ada menyebabkan Datuk berasakan diri terkena sihir, mungkin ia boleh menjadi panduan kepada mereka di luar sana untuk menghadapinya?
Kalau kena santau, kuku tangan orang yang terkena itu bertukar menjadi warna hitam. Selain itu, mereka juga akan bermimpi tidak elok. Jika seseorang disihir, mereka biasanya akan muntah darah, selain keluar bisa dan dada pula keluar miang bulu.
Jika kena busung, perut mereka akan membesar dan menjadi keras. Saya sendiri menjalani endoscopy scope banyak kali di hospital, namun doktor kata keadaan saya normal.
Bagaimanapun, saya memang tak boleh bangun dan jalan terhuyung-hayang. Bukan itu sahaja, saya buang air kecil 30 kali dalam sehari. Apabila saya alami masalah-masalah itu, pada mulanya saya ke hospital bagi mendapatkan pandangan atau rujukan doktor pakar.
Setakat ini saya menjalani empat kali pembedahan melibatkan jantung, usus dan lain-lain. Ada juga rawatan bagi kencing manis. Bagaimanapun, apabila keadaan masih sama biarpun sudah mendapatkan rawatan di hospital, saya akan bertukar ke rawatan alternatif.
Bagaimanapun, nasihat saya buat mereka yang mengesyaki disihir, dapatkan dahulu pandangan doktor pakar di hospital. Bukan semua orang kena sihir atau berdepan gangguan makhluk halus kerana ia mungkin akibat masalah kesihatan seperti kencing manis atau gula dalam darah tinggi.
Saya ketika menderita penyakit kulit, lakukan biopsi terlebih dulu. Doktor periksa kuku dan kulit, namun apabila institusi perubatan mengeluarkan surat kata tiada penyakit, jadi apa penyakit saya?
Pernah pada satu ketika ada orang datang menemui saya dan mendakwa disihir, tetapi sebenarnya pemikirannya terganggu atau mengalami vertigo.
Ada segelintir pihak pada masa ini tidak mempercayai perkara itu yang dianggap tahyul. Ini kerana mereka mengatakan sekiranya sakit hendaklah berjumpa dengan doktor, bukannya bomoh. Apa pandangan Datuk?
Sihir adalah suatu yang wujud dan nyata dalam agama dan dunia. Kalau tak percaya bermakna mereka tolak al-Quran kerana jelas disebut di dalamnya mengenai sihir. Disebut juga makhluk seperti jin yang menjadi perantaraan kepada manusia.
Makhluk-makhluk ini ada disebut dalam Surah al-Falaq dan adanya manusia yang dengki serta jin jahat yang merosakkan kehidupan manusia. Ada sihir pembenci, ada juga pemisah suami isteri.
Orang yang tidak pernah kena sihir tak boleh kata begini (tidak percaya).















