KUALA LUMPUR – Prestasi akademik anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dipertingkat melalui Program e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Program yang bermula sejak Mei lalu itu melibatkan seramai 652 pelajar tingkatan lima yang merupakan anak kepada anggota ATM dari seluruh negara.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada Program e-Perkasa SPM 2024, yang dilancarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Selain menyediakan akses kepada modul pembelajaran dan video pengajaran melalui platform digital seperti Google Meet dan YouTube Live, program itu turut menggunakan kepakaran daripada guru, alumni dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Salah seorang bapa kepada calon SPM, Pegawai Waran I PNK, Muhamad Kamal Zainuddin melahirkan rasa syukur apabila anak keduanya, Nur Kafiya Damia terpilih untuk menyertai program itu.
Jelasnya, anaknya tidak hanya berpeluang mengikuti sesi pembelajaran berkualiti tinggi, malah turut menerima komputer riba secara percuma.
“Bantuan ini amatlah membantu mengurangkan beban kami anggota ATM selain dapat memastikan pendidikan anak-anak kami terjamin. Tenaga pengajar pula adalah pakar dari UPSI yang sangat dipercayai.
“Saya percaya dengan bantuan ini, anak saya akan melakukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan dalam SPM,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, setelah beberapa kali mengikuti sesi pembelajaran berasaskan konsep mentor-mentee, penguasaan anaknya terhadap subjek Matematik dan Bahasa Inggeris semakin bertambah baik.
“Kemudian apabila pergi ke sekolah, anak saya akan melakukan rujuk silang bersama guru bagi pemahaman yang lebih baik,” katanya.
Muhamad Kamal berkata, anak kedua daripada empat beradik itu bercita-cita ingin bekerja dalam sektor kerajaan, khususnya dalam bidang forensik.
Bagi Leftnenan Kolonel Norlin Salleh pula, dia menganggap pemilihan anaknya, Mirza Muhammad Najmuddin Majmi untuk program berkenaan sebagai ‘rezeki terpijak’.
Katanya, dia tidak menyangka anak kedua daripada empat cahaya matanya itu mendapat peluang tersebut setelah berpindah sekolah ke Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Dulu masa sekolah di dalam kem, dia juga pernah mengikuti program tuisyen Sentuhan Elit, yang juga merupakan inisiatif di bawah Yayasan LTAT. Namun selepas berpindah, anak saya tidak dapat mengikuti program tersebut kerana ia khas buat anak-anak yang bersekolah di dalam kem.
“Tetapi setelah adanya Program e-Perkasa SPM ini, saya cuba mohon dan lulus. Saya gembira tak terkata sebab anak saya dapat peluang sama macam sebelum ini,” ujarnya.
Menurut Norlin yang juga merupakan alumni UPSI, pembelajaran secara mentor-mentee yang menggunakan pendekatan lebih santai dan mesra membuatkan anaknya mudah menerima dan memahami ilmu diajar.
“Sepanjang pembelajaran saya ada beberapa kali pantau dan saya lihat komunikasi antara tutor dan anak saya sangat rapat.
“Tutor pun mendengar apa masalah dihadapi anak saya dalam pembelajaran. Jadi ia sangat-sangat membantu. Nampak perbezaan keputusan peperiksaan dia yang meningkat berbanding tingkatan empat,” katanya.
Sementara itu, buat Pegawai Waran Udara I, Jaafar Iskandar M Abd. Majid pula, penerimaan Program e-Perkasa SPM 2025 terhadap anaknya, Nur Haziqah Farisha menunjukkan perkembangan sangat positif.
Ujarnya, anak kedua daripada lima beradik itu mula menunjukkan minat mendalam untuk menguasai subjek-subjek teras, lebih-lebih lagi Bahasa Inggeris.
Tambahan pula, oleh kerana pembelajaran dalam talian lebih fleksibel, Jaafar berkata, anaknya tidak terlalu penat untuk mengikuti kelas meskipun dalam keadaan jadual seharian yang padat.

“Alhamdulilah, penerimaannya pun sangat positif. Guru-guru yang ajar dalam subjek teras sangat berkaliber dan modul yang disediakan sungguh praktikal.
“Memang anak saya agak lemah dalam subjek Bahasa Inggeris, tetapi dengan adanya Program e-Perkasa SPM ini, penguasaannya semakin bertambah baik. Anak saya bercita-cita untuk mengikut jejak langkah saya iaitu menyarung uniform tentera. Oleh itu, saya harap dia dapat raih keputusan cemerlang,” katanya.
Jaafar turut berharap peruntukan bagi program tersebut dapat diperluaskan agar lebih ramai anak-anak anggota ATM mendapat peluang sewajarnya untuk meraih kecemerlangan dalam pendidikan.
Seorang lagi bapa, Ketua Detasmen P4 Markas 8 Briged, Mejar Azlan Hafiz Che Awang menganggap program tersebut memberi manfaat besar buat anaknya, Nur Syafina Amni Azlan Hafiz yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Katanya, di samping dapat mengikuti program tuisyen secara percuma, peranti komputer riba yang diberikan juga dapat digunakan apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti kelak.
“Alhamdulillah, anak seronok dan gembira apabila dapat kemudahan belajar tuisyen secara dalam talian. Setakat ini penerimaannya baik dan apa yang diajar oleh mentor pun mudah difahami lebih-lebih lagi subjek Matematik.
“Bila belajar online, anak tak perlu keluar rumah atau berkejar ke pusat tuisyen. Seperti kita tahu, tuisyen di luar pun agak mahal. Jadi sangat membantu anggota ATM seperti saya,” katanya.
Azlan Hafiz berharap program seperti ini dapat diteruskan, malah mungkin boleh dimulakan pada awal tahun bagi sesi akan datang.