IPOH- Dua kali letupan yang berlaku di Perak terutamanya Ipoh pada Oktober 2024 dan terkini pada 18 Jun lalu, kekal misteri.
Keadaan itu juga menjadi tanya tanya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mahukan siasatan terperinci dilakukan.
Katanya, bunyi letupan itu juga didakwa kedengaran di Taiping dan Kuala Kangsar yang berjarak lebih 40 kilometer dari Ipoh.
“Hal ini perlu dikaji oleh pihak berwajib. Ahli geologi perlu membuat kajian apakah yang sedang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di sini hari ini.
Letupan misteri itu dikatakan berlaku pada Rabu lalu pada pukul 10.30 pagi itu dan ramai penduduk menyatakan bunyi tersebut mirip kejadian yang didengari pada Oktober tahun lalu.
Pelbagai spekulasi timbul termasuk bunyi itu didakwa berpunca daripada aktiviti kuari yang dijalankan di pinggir Ipoh namun pihak polis bunyi tersebut bukan berpunca daripada latihan letupan oleh pasukan keselamatan mahupun aktiviti kuari.
Semasa Oktober 2024, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyatakan bunyi detuman kuat dan gegaran tiada kaitan dengan pesawat pejuang TUDM kerana tiada sebarang penerbangan dilaksanakan di sekitar kawasan terbabit ketika kejadian.
Saarani bagaimanapun menasihati penduduk supaya tidak panik atau resah kononnya berlaku gegaran gempa bumi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad menasihati orang awam agar bertenang dan tidak menyebarkan spekulasi yang tidak sahih terutama melalui media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam. – KOSMO! ONLINE.