PETALING JAYA – Sebuah kilang kertas di Jalan Lembah Kinrara, Kampung Lembah Kinrara, Puchong musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.14 tengah hari sebelum sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi kejadian lapan minit kemudian, pihak bomba mendapati sebuah kilang kertas sedang terbakar.
“Kebakaran melibatkan kilang kertas berkeluasan lebih 1,114 meter persegi. Anggaran kawasan terbakar adalah 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Muklhlis berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Asap kebakaran kilang tersebut boleh dilihat secara jelas dari kawasan Petaling Jaya.- KOSMO! ONLINE