fbpx

Kelas Mandarin, Matematik Tambahan jana pendapatan Masjid Nurussalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD HAFIDZ menunjukkan sebahagian daripada produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang ditawarkan di premis runcit Masjid Nurussalam, Gerik.

GERIK – Penyediaan kelas bim­bingan mata pelajaran Matematik Tambahan dan bahasa Mandarin buat para pelajar sekolah merupakan antara usaha Masjid Nurussalam, di sini.

Kemampuan mengendalikan kelas tersebut hasil pembinaan bilik belajar dalam kawasan masjid, dan turut menyumbang kepada keuntungan koperasi masjid tersebut yang diwujudkan sejak Mei 2021.

Timbalan Pengerusi Perniagaan (Koperasi) Masjid Nurussalam Gerik, Ahmad Hafidz Shafei berkata, pihaknya turut menjalankan perniagaan kedai runcit, penyewaan bangunan serta tapak, dan inap desa dengan kejayaan merekodkan untung bersih hampir RM80,000 sepanjang tempoh operasi.

Beliau yang juga Pengerusi Masjid berkata, ketetapan telah dibuat supaya 20 peratus daripada untung bersih akan disumbangkan kepada masjid untuk pelbagai aktiviti.

“Idea penubuhan koperasi ini dicetuskan sesama ahli kariah masjid. Ia sebagai menyahut cabaran oleh Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Saarani Moha­mad yang mencadangkan masjid di negeri ini mewujudkan koperasi semasa beliau memegang portfolio Koperasi sebelum menjadi MB,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Jelasnya, pendapatan tertinggi tahunan yang pernah dicatatkan oleh koperasi ialah RM800,000 dengan perniagaan perhotelan dan inap desa sebagai penjana utama menerusi pelanggan yang mahu berhenti rehat semasa menggunakan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, atau me­ngunjungi Taman Negeri Royal Belum.

Perkembangan itu selari de­ngan pelan Perak Sejahtera 2030 yang diperkenalkan oleh Saarani, iaitu pelancongan di bawah niche Daerah Hulu Perak serta flagship kelima pelan, Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Selain peluang pendidikan dan penambahan pendapatan institusi, koperasi di negeri ini menjadi medium kepada rakyat untuk menjana pendapatan tambahan.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak Berhad, Kasim Muhammad berkata, organisasi itu yang sudah menjengah usia 100 tahun terus menjadi landasan buat anggota menjana pendapatan.

Katanya, koperasi itu mempu­nyai lebih 2,300 anggota yang terdiri daripada kakitangan kerajaan berbangsa Melayu di Perak dan menjalankan aktiviti seperti kemudahan kredit peribadi, perniagaan runcit, ar-rahnu, pengurusan harta seperti sewaan premis dan ba­ngunan serta perladangan, dengan pendapatan melebihi RM6 juta setahun sejak 2021.

“Kami juga memberi kemudahan pembiayaan kredit kepada anggota dan memberi dividen atas yuran, syer serta simpanan khas sekiranya terdapat lebihan keuntungan. Selain itu, kami menyediakan peluang buat anak-anak anggota menjalani latihan industri di koperasi.

“Pada tahun 2024, koperasi ini mencapai usia 100 tahun dengan kejayaan menduduki Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia. Kami mahu kekal sebagai salah satu daripada 100 koperasi terbaik di negara ini,” katanya.

Pada Disember lalu, Saarani menyeru koperasi di Perak mene­rokai peluang perniagaan hasil pe­lbagai projek berimpak tinggi yang dilaksanakan di negeri itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI