PETALING JAYA – Hasrat pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools untuk membuat debut bersama Cerezo Osaka pada aksi Liga Utama Jepun (J1) bertemu pasukan Tokyo Verdy sebentar tadi tidak kesampaian.
Pada aksi di Stadium Yodoko Sakura itu, Cools telah diletakkan dalam senarai pemain simpanan buat kali pertama selepas melengkapkan perpindahan daripada kelab Thailand, Buriram United awal bulan ini.
Namun, khidmat Cools tidak diperlukan oleh jurulatih, Arthur Papas yang memilih lima pemain lain seperti Shunta Tanaka, Motohiko Nakajima, Shion Honma, Kyohei Yoshino dan Masayama Shibayama untuk dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.
Situasi itu tidak menghalang Cerezo Osaka untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Tokyo Verdy hasil jaringan Rafael Ratao dan Thiago Andrade.
Cools yang berusia 29 tahun mencipta sejarah jadi pemain pertama Malaysia yang menandatangani kontrak profesional bersama pasukan Liga J1.
Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium ini masih berpeluang untuk membuat penampilan pertama pada aksi liga menentang Gamba Osaka pada 5 Julai depan.
Sebelum ini, Cools menjadi watak penting buat Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun lepas. – KOSMO! ONLINE