SEPANG- Selepas melalui beberapa siri kelewatan operasi, Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akhirnya akan beroperasi semula 1 Julai ini.
Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas meninjau perkhidmatan itu bersama pengamal media di sini, pagi ini.
Loke berkata, secara rasminya, perkhidmatan itu akan beroperasi secara rasminya pukul 10 pagi 1 Julai depan.
Beliau berkata, projek Aerotrain ini telah siap dilaksanakan malah, telah melalui pelbagai percubaan bagi memastikan keselamatan perkhidmatan ini.
“Aerotrein ini akan menjalani beberapa percubaan dan ujian terakhir dalam masa beberapa hari ini termasuk pelan tindakan balas kecemasan.
“Perkhidnatan ini adalah satu projek yang penting bagi memastikan imej KLIA akan terus meningkat. Kita tahu bahawa dalam tempoh lebihsetahun ini pengunjung dan pengguna KLIA terpaksa menggunakan baspengantara untuk ke bangunan satelit,” katanya.
Katanya, bagi fasa awal perkhidmatan ini, beliau telah meminta Malaysia Airport Holdings Bhd (Malaysia Airports) supaya memastikan ada kesinambungan operasi dan pelan mitigasi yang baik.
Loke berkata, bagi setiap perjalanan, tiga gerabak akan beroperasi serentak bagi perjalanan sehala dengan kapasiti 270 penumpang.
“Perkhidmatan ini bergerak secara seli. Secara keseluruhan, kita ada tiga set gerabak dimana dua set akan beroperasi manakala, satu set lagi berada dalam mood ‘standby’,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, buat masa ini, perkhidmatan bas pengantara akan dikekalkan sehingga perkhidmatan Aerotrain itu berjalan dengan lancar.-KOSMO! ONLINE.