PETALING JAYA – Perlindungan undang-undang terhadap pemberi maklumat tidak sepatutnya dijadikan perisai oleh individu yang turut terlibat dalam salah laku, sebaliknya harus dilihat sebagai dorongan kepada keberanian dan kejujuran.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menyeru agar setiap pemberi maklumat bersikap jujur serta bebas daripada sebarang konflik kepentingan ketika tampil mendedahkan sebarang isu.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu kekal adil dan telus dalam setiap siasatan, tanpa sebarang unsur pilih kasih bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini tidak terhakis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerajaan wajar melaksanakan reformasi terhadap sistem insentif dan perlindungan kepada pemberi maklumat supaya tidak disalahgunakan oleh pihak yang turut terlibat dalam kesalahan yang didedahkan.
“Pemberi maklumat yang bersalah tetap tidak kebal daripada tindakan undang-undang. Ini penting agar prinsip integriti tidak dicemari,” ujarnya.
Jais berkata, masyarakat tidak seharusnya menganggap tindakan terhadap pemberi maklumat yang bersalah sebagai pengkhianatan terhadap keberanian mereka, sebaliknya sebagai peringatan bahawa integriti perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
“Perlindungan undang-undang bukan tiket kebal kepada pesalah, sebaliknya lambang penghormatan terhadap keberanian dan tanggungjawab moral,” ujarnya.
MCW turut menggesa semua pihak termasuk agensi penguat kuasa, pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai berganding bahu menegakkan sempadan integriti dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini. – KOSMO! ONLINE