PETALING JAYA – Seorang mekanik melalui detik sedih apabila pelanggannya memohon untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi membaiki kereta disebabkan masalah kewangan.
Muhammad Johary Yusuf menceritakan kejadian menimpa wanita yang juga guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) memohon membuat bayaran ansuran bagi kos membaiki keretanya.
Wanita itu dipercayai datang ke bengkelnya dalam keadaan serba kekurangan, namun tetap berusaha menjaga maruah diri tanpa meminta simpati.
Difahamkan, wanita itu kesempitan wang disebabkan tanggungan yang banyak dan berjanji akan melunasnya dengan segera.
“Gaji bersih RM970 sahaja, tetapi dia kata memang memerlukan kereta ini sebab dia seorang sahaja yang tanggung anak nak (hantar) pergi dan balik sekolah guna kereta.
“Wanita itu tidak minta bayaran dikurangkan atau ditangguhkan, tetapi dia minta izin nak bayar perlahan-lahan (ansuran).
“Katanya paling lambat dalam masa empat bulan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut Muhammad Johary, dia kagum dengan kesabaran wanita itu meskipun berada dalam titik terendah dalam hidupnya.
“Dia buka aplikasi bank menunjukkan baki RM4.11, tapi dia diam tidak minta tolong atau menangis, dia hanya dalam kesempitan.
“Dia masih menjaga maruah dan tidak merayu (pengurangan) cuma minta ruang untuk terus bertahan hidup dan dipermudahkan urusan,” katanya.
Lelaki itu akhirnya memutuskan untuk membenarkan wanita tersebut membayar kos pembaikan kereta secara ansuran.
Rata-rata netizen memuji keprihatinan Muhammad Johary dan mendoakan agar lelaki itu dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusannya.
“Terima kasih orang baik. Semoga Allah melimpahkan rezekimu. Diberikan kesihatan yang baik serta dirahmati dunia dan akhirat,” kata NapiNapi.
“Semoga Allah memberi rezeki yang tidak putus-putus kepada awak dan ustazah itu,” ujar Nor Izan.
“Semoga rezeki abang dilipatgandakan. Inilah guna bengkel orang Melayu kalau tak kita yang bantu, siapa lagi yang akan bantu,” balas Raje Nazrul King Lagend. – KOSMO! ONLINE