PUTRAJAYA – Program Sekolah Angkat Madani hasil cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mencecah 1,000 buah di seluruh negara.
Bermula dengan sasaran 300 buah sekolah, kini bilangan sekolah angkat tersebut mencecah 1,000 buah hasil sokongan lebih 117 peneraju industri dan korporat.
Anwar turut melahirkan rasa syukur atas sokongan luar biasa daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat itu.
“Saya berharap sokongan syarikat korporat bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebaliknya melangkaui belas ihsan.
“Apa yang kita harap daripada saudara tentulah sedikit sumber kewangan untuk melengkapkan kemudahan di sekolah angkat terutama di pinggir bandar,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Sekolah Angkat Madani hari ini.
Menurut beliau, bagi menggapai wawasan Ekonomi Madani, sistem pendidikan nasional perlu disegarkan dengan reformasi secara menyeluruh dan mampu memberikan generasi muda dan tenaga pengajar fasiliti yang bertaraf dunia.
Anwar berkata, bukan sekadar sumbangan kewangan, rakan peserta Sekolah Angkat Madani juga akan melaburkan kemahiran untuk meningkatkan mutu sekolah angkat mereka agar kesenjangan pendidikan dapat dirapatkan. – KOSMO! ONLINE