PETALING JAYA – Detik cemas yang dilalui sepasang suami isteri apabila anak mereka tiba-tiba tidak sedarkan diri di dalam rumah mencuri perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu video tular berdurasi 22 saat yang dikongsi seorang pengguna TikTok, Farishal, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kediaman keluarga itu memaparkan suasana kelam-kabut ketika mereka bergegas membawa bayi lelaki mereka ke hospital.
Video itu menunjukkan si bapa menggendong anaknya yang tidak sedarkan diri sebelum berlari ke arah kereta dan memandu ke hospital sambil menggunakan lampu isyarat kecemasan (double signal) sebelum tiba di sana dalam tempoh lapan minit sahaja.
Pemilik akaun tersebut turut meninggalkan pesanan penting kepada orang ramai mengenai persiapan menghadapi situasi kecemasan.
“Pesanan untuk semua keluarga agar memastikan minyak kereta korang sentiasa cukup serta ruangan keluar masuk tidak terhalang,” tulisnya pada ruangan kapsyen tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mengucapkan terima kasih kepada keluarga berkenaan atas pesanan yang penting dan insiden yang wajar dijadikan iktibar.
“Allahuakbar, peringatan yang bagus. Memang betul itu, kena make sure (pastikan) minyak kereta sentiasa ada jika berlaku sebarang kecemasan. Selama ini tak pernah terfikir sampai ke situ, walaupun minyak kereta sudah nak habis, tetap lenjan. Semoga anak akak dan abang cepat sihat ye,” komen Kayla.
“Rasa tertampar sebab mak selalu bebel suruh isi minyak kalau tinggal sikit. Takut tengah malam ada emergency (kecemasan), tapi kita jiwa muda mana nak dengar benda begini. Tengok video ini baru rasa logik benda yang kita anggap kecil,” kata Syu.hada.
Sementara itu, ramai ibu bapa berkongsi kisah hampir sama, termasuk saat getir berdepan kecemasan anak kecil mereka.
“Tengok video ini terus meleleh air mata sebab pengalaman saya sendiri anak masuk dalam baldi berisi air, macam itulah saya angkat anak saya. Alhamdulillah kini anak saya sihat dan selamat tapi masa saya angkat dari baldi dia sudah lembik dan bibir biru,” ujar Aireen Salimin.
“Pernah lalui situasi macam ini. Nasib baik suami baru balik kerja, tiba-tiba anak tak sedarkan diri. Bawa kereta dengan selipar tak pakai laki bini. Saya memandu kereta macam orang gila, suami dekat sebelah dukung anak. Alhamdulillah Tuhan masih panjangkan usia anak saya,” balas Iesha. -KOSMO! ONLINE
@farishal83 Pastikan minyak kereta sentiasa cukup..kenderaan utk dibawa semasa berlaku kecemasan tu ada..ruangan keluar masuk tak terhalang…Ahmad Qhalifa tetiba tak sedarkan diri…anak ke 8 merupakan anak lelaki pertama dlm keluarga..sekitar jam 7.20 malam…8 minit ke hospital double signal..doakan semuanya selamat…