LANGKAWI – Seorang lelaki bertindak mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja kedai emas sebelum melarikan barangan kemas bernilai RM50,000 dalam kejadian rompakan di Pekan Pandak Mayah, Kuah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.48 pagi itu, suspek yang memakai topeng ski meluru masuk ke kedai emas tersebut sebelum mencampakkan serbuk cili ke arah pekerja di situ.
“Suspek seterusnya memecahkan cermin pameran emas menggunakan parang yang dibawa dan melarikan sejumlah barangan kemas dianggarkan bernilai RM50,000.
“Pemilik kedai emas berusia 69 tahun dan pekerja wanita berusia 60 tahun kemudian bertindak mengejar suspek,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, cubaan suspek berusia 45 tahun untuk melarikan diri gagal apabila berjaya ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE