KAJANG – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah berjaya membangunkan sebanyak 4,329 Pra-Tahfiz Tabika Kemas dan melahirkan seramai 61,032 huffaz cilik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kanak-kanak itu bukan sekadar bijak membaca dan menulis, tetapi membesar dengan nilai al-Quran.
Menurut beliau, program Pelita@Kemas pula membolehkan kanak-kanak Kemas terlibat menyambung hafazan mereka sehingga usia 12 tahun.
“Insya-Allah, menjelang tahun 2026, kita menyasarkan lebih 9,700 Tabika Kemas akan terlibat dengan penglibatan lebih 145,000 huffaz kecil, melepasi sasaran 140,000 yang kita telah tetapkan.
“Saya akan arahkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) beri keutamaan anak yang hafal ini untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab,” katanya pada majlis sambutan Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dekat sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif terbaharu iaitu SmartClassroom@Kemas pula mengangkat sistem pendidikan awal negara ke era digital.
Katanya, beliau berhasrat supaya sekurang-kurangnya satu Tabika pintar diwujudkan di setiap daerah menjelang tahun 2026.
“Mana tahu, satu hari nanti pendidikan berasaskan kemahiran seperti TVET dapat dimulakan sejak peringkat awal, dan minat ke arah itu dapat dipupuk seawal usia lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pelaksanaan Tabika Tunas Istimewa@Kemas bagi kanak-kanak berkeperluan khas akan bermula di Melaka.
“Menjelang tahun 2027, kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu Tabika khas diwujudkan di setiap daerah seluruh negara. Insya-Allah kita cuba pastikan tiada anak Malaysia tercicir akses kepada pendidikan awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE