fbpx

Gaji pendidik Kemas disemak semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berucap pada sambutan Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Bangi, Selangor hari ini

KAJANG – Skim gaji untuk 13,344 pendidik di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara sedang disemak semula bagi mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kemas supaya membuat semakan tersebut.

Ujar beliau, ekosistem kerja yang menghargai tenaga pengajar mampu melahirkan pendidik Kemas yang lebih dinamik, berdaya saing dan terus kekal sebagai tulang belakang pendidikan komuniti di Malaysia.

“Pengurusan baharu Kemas dengan bantuan KKDW, skim gaji (pendidik Kemas) di semak semula. Saya tidak mengarahkan hal ini supaya dilakukan, tetapi saya telah perintah mereka melakukannya.

“Kita tidak boleh menuntut semangat luar biasa jika asas kesejahteraan mereka diabaikan. Sama ada daripada segi elaun, peluang kenaikan pangkat, perlindungan sosial atau pengiktirafan, semua ini perlu disusun sebaiknya,” katanya pada majlis sambutan Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita menjelaskan, gaji pendidik Kemas ketika ini berdasarkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan mereka memiliki diploma dalam pendidikan awal sekolah.

Menurut beliau, keadaan itu seolah-olah terlepas pandang dan kini pendidik Kemas memohon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya melihat nasib mereka.

Tambah beliau, sebahagian besar kakitangan Kemas adalah kakitangan kontrak dan mereka juga mereka memohon diberikan jawatan tetap dengan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

“Yang dituntut mereka adalah jawatan tetap tidak berpencen. Ini permintaan yang sangat munabasah kerana ia tidak pun menambah belanjawan (kerajaan) yang tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI