TAMPIN – Dua rakan sekerja maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Kampung Baru Tampin, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, nahas pada pukul 9 malam itu melibatkan motosikal Honda C100 dinaiki dua buruh binaan dan MPV Mitsubishi Xpander dipandu lelaki berusia 34 tahun.
Katanya, siasatan mendapati pemandu MPV yang dalam perjalanan menuju ke pekan Tampin meneruskn perjalanan apabila lampu isyarat berwarna hijau.
“Secara tiba-tiba motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun dan pembonceng warga Bangladesh berusia 20 tahun melanggar bahagian hadapan kenderaan itu.
“Akibatnya, pembonceng motosikal maut di tempat kejadian, manakala penunggangnya meninggal dunia di Hospital Tampin semasa menerima rawatan,” katanya hari ini.
Amiruddien berkata, pemandu MPV cedera di dada dan menerima rawatan di hospital sama. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE