Oleh NABILA NATASHA YUSMADIE
PENJAGA gol hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman meluahkan kekecewaannya apabila Malaysia tewas 3-4 kepada New Zealand pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Negara-Negara 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
“Perkara ini selalu terjadi apabila pemain kita menerima kad kuning, permainan memang jadi lebih sukar lebih-lebih lagi apabila menentang pasukan seperti New Zealand.
“Terdapat banyak ‘turnover’ dan kesilapan hantaran. Ini memberi peluang kepada lawan mencari ruang dan membuat serangan,” katanya selepas perlawanan.
Speedy Tigers yang pada mulanya selesa mendahului 3-0, bagaimanapun tidak dapat bertahan lama apabila Black Sticks menyamakan kedudukan dan seterusnya menjaring gol kemenangan, sekali gus menewaskan Malaysia 3-4 di laman sendiri.
Bagaimanapun, Hafizuddin turut melihat aspek positif apabila pertahanan skuad negara lebih baik daripada aksi perlawanan menentang Pakistan apabila mencatat keputusan seri 3-3 baru-baru ini.
“Kalau lihat, pertahanan hari ini lebih ketat dan terancang, terutamanya pada suku pertama, kedua, dan ketiga.
“Terdapat kekurangan pada suku keempat, pertahanan agak terbuka dan Black Sticks dapat ambil peluang,” katanya yang mengakui kecewa dengan keputusan itu.
Menjelang aksi terakhir kumpulan Malaysia menentang Jepun malam ini, Hafizuddin menyatakan dia akan memberikan yang terbaik demi mendapatkan tiga mata penting.
“Saya akan pastikan saya memberikan yang terbaik dan berharap dapat menyumbang kepada pasukan demi mencapai tiga mata penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE