SEPANG – Beberapa penerbangan dikendalikan AirAsia Malaysia (AK), AirAsia Indonesia (QZ) dan AirAsia X Malaysia (D7) ke dan dari Bali, Lombok dan Labuan Bajo dibatalkan atau dijadualkan semula bermula hari ini susulan Letusan Gunung Lewotobi di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.
AirAsia dalam kenyataan berkata, letusan itu telah menyebabkan pembentukan awan abu gunung berapi yang meluas, seterusnya mengancam keselamatan operasi penerbangan berhampiran kawasan tersebut.
“AirAsia komited untuk membantu tetamu yang terjejas dan telah memaklumkan semua tetamu yang terlibat melalui emel dan SMS mengenai status penerbangan serta pilihan pemulihan mereka.
“Pihak syarikat sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan tetamu dapat meneruskan perjalanan mereka dengan selamat melalui penerbangan seterusnya yang disediakan,” katanya hari ini.
Jelas AirAsia, penumpang juga digalakkan untuk menyemak status penerbangan terkini melalui aplikasi AirAsia MOVE serta notifikasi emel bagi sebarang perubahan atau makluman lanjut.
“Sementara itu, AirAsia akan terus memantau aktiviti Gunung Lewotobi dan akan mengemas kini nasihat perjalanan sebaik operasi kembali seperti biasa,” katanya.
Semalam, Gunung Lewotobi Laki-Laki di Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus dengan memuntahkan abu setinggi 11 kilometer ke udara.
Selain itu, tahap amaran gunung berapi itu dinaikkan ke tahap paling bahaya dengan amaran kemungkinan aliran lahar sekiranya hujan lebat berlaku. – KOSMO! ONLINE