fbpx
Afendi ketika dibawa ke mahkamah pada tahun lalu.

Bunuh ibu bapa: Afendi dijel maksimum 40 tahun, 24 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala, dua tahun lalu dihukum penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim K.Muniandy menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti fakta kes, status kesihatan dan pengakuan bersalah Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 44, sebelum ini yang dibuat dalam keadaan waras dan  sukarela.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, manakala peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli mewakili Afendi.

Pada November lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh pada 6 September tahun sama dalam keadaan waras dan sukarela.

Selepas menjalani ujian psikiatri, Afendi disahkan waras ketika kejadian seperti dinyatakan dalam laporan perubatan pada 7 Februari lalu oleh Pakar Psikiatri (Forensik), Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Pihak pendakwaan memaklumkan, ketika kejadian, Afendi dalam keadaan sedar dan mengetahui tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang.

Pada masa sama, mentalnya juga stabil dan layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri.

Tertuduh didakwa membunuh bapanya, Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala pukul 7.10 dan 7.20 malam, 9 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan maksimum 12 sebatan.

Pada 9 Disember 2023, Kosmo! melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan mayat pasangan warga emas yang dibunuh di Kampung Sungai Penchala.

Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an pada pukul 7 malam.

Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek ketika bersembunyi di terowong Penchala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI