fbpx

‘Semua berjaya, tak nampak Syamsul nombor 1, saya nombor 2’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syafiq (kiri) berbangga filem Malaysia kini mendapat sambutan audiens tempatan berbanding naskhah antarabangsa.

PETALING JAYA – Pengarah Syafiq Yusof berlapang dada andai takhta filem terlaris Malaysia tidak lagi milik taikun dunia perfileman negara, keluarga Datuk Yusof Haslam.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Mohd. Yusof bahkan gembira jika tangga nombor satu filem terlaris bertukar tangan menjadi kepunyaan naskhah animasi, Ejen Ali 2 yang kini sudah meraih kutipan panggung RM55.1 juta.

“Kalau Ejen Ali 2 dapat potong kutipan kami, itu sesuatu yang bagus.

“Saya pun tak nak nampak orang sibuk bercakap ‘Syamsul nombor 1, Syafiq nombor 2 atau 3’.

“Ini untuk apa pun, saya tak tahu. Bagi saya yang penting, semua berjaya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Syafiq yang juga pengarah filem pecah panggung Sheriff itu berkata, kejayaan filem-filem tempatan di panggung membuktikan bahawa kerajaan tidak boleh memandang enteng impak perfileman kepada negara.

“Penting untuk pelabur dan kerajaan nampak industri filem Malaysia tidak boleh lagi ditolak tepi. Filem juga satu benda yang penting,” katanya lagi.

Untuk rekod, filem tempatan terlaris sepanjang zaman masih diungguli keluarga Yusof Haslam. Filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof di tangga pertama dengan kutipan RM 97.4 juta dalam tempoh 40 hari tayangan.

Blood Brothers arahan Syafiq dan Abhilash Chandra di tangga kedua (RM76 juta) sementelah satu lagi naskhah arahan Syafiq iaitu Sheriff: Narko Integriti di tempat ketiga (RM64 juta).

Filem animasi Ejen Ali 2 yang kini sudah mencatat kutipan RM55.1 juta dijangka bakal terus meraih kutipan sebanyak RM70 juta atau lebih. Filem arahan Usamah Zaid Yasin itu ditayangkan sejak 22 Mei lalu dan bakal menjengah pawagam Indonesia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI