KUALA LUMPUR – Ibarat kata pujangga, yang baru dikasihi, yang lama dihormati. Jika tiada yang lama maka tiadalah yang baru.
Atas semangat itu, dua susuk berbeza generasi pekerja am Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad, Muhammad Zamri Zahidin Izam, 19, dan K. Manimaran, 59, terus menabur bakti bagi memastikan kebersihan bandar metropolitan Kuala Lumpur terjamin.
Kerjaya sebagai pekerja pembersihan longkang dijunjung tinggi dua individu terbabit tanpa keluh dan lelah hari demi hari. Biar seragam dilekati kotoran, mereka tidak culas bekerja saban hari.
Ketika kebanyakan orang barangkali memilih pekerjaan di pejabat bertemankan penghawa dingin, bagi mereka, turun ke dalam longkang dan terowong bawah tanah di bawah terik mentari memberi keseronokan tersendiri.

Muhammad Zamri yang sudah setahun bersama Alam Flora yang membawa tagline Enhancing Life, Enriching Communities berkata, tiada apa yang perlu dimalukan bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan longkang. Baginya, asalkan bekerja dengan tekun dan rezeki digauli datang dari sumber halal, dia akan terus berkhidmat.
“Kerja glamor atau sebaliknya, bagi saya secara peribadi itu tak penting. Kerja dalam mana-mana bidang sekalipun yang penting adalah atas dasar pengalaman dan keinginan.
“Orang biasa di ‘atas’ sahaja, saya dan kawan sekerja lain di bawah (tanah). Macam-macam benda kita boleh jumpa,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Walaupun baru setahun jagung dalam dunia pembersihan longkang, Muhammad Zamri melihat pekerjaan itu mendidik diri untuk menjaga kebersihan, dan sentiasa ‘membumi’ berdepan dengan sebarang situasi.
“Bagi saya, kalau bukan orang macam saya buat kerja ini, siapa lagi nak buat. Saya tak perlukan pendapat orang lain untuk buat apa yang saya minat. Sekurang-kurangnya, walaupun saya bukan hero, ada jasa yang boleh disumbangkan kepada masyarakat dan negara.
“Bersihkan longkang atau terowong tersumbat memang kerja kami. Tapi kalau ada sampah yang boleh ditempatkan di kawasan sepatutnya, kita sama-sama jalankan tanggungjawab. Selagi boleh kutip dan buang, kita usahakan.
“Longkang bukan tempat buang sampah, ia penting untuk laluan air. Kalau tak jaga, nanti boleh jadi banjir sesuatu kawasan. Pada masa sama, hormati undang-undang di negara kita ini,” tegasnya,

Ditanya tentang keseronokan bekerja dengan kebanyakan mereka yang lebih berusia, Muhammad Zamri berkata, itu adalah antara perkara yang mendorong dirinya menceburi bidang ini.
“Saya pernah bekerja di tempat lain. Di Alam Flora, saya berkawan dengan orang yang berumur. Bagi saya, ‘vibe’ memang berbeza.
“Kalau dengan kawan seusia kita tahu sembang macam mana tapi di sini, cara dan kisah mereka membuatkan saya rasa memiliki ramai ‘bapa’. Pengalaman yang mereka kongsikan tidak ternilai,” katanya.
Kongsi bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras itu lagi, pekerjaan ini memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi dan dia sendiri hanya boleh menyesuaikan diri selepas beberapa minggu.
“Bawah tanah memang gelap. Kadang-kadang berbahaya tapi itu yang membuatkan kerja ini menarik. Anda akan jumpa banyak benda, biawak dan tikus itu biasa. Kadang-kadang ada belut.
“Masa mula-mula kerja dulu tangan saya tak kuat. Sakit juga tangan sewaktu memegang hos paip bertekanan tinggi. Lama-lama saya dapat membiasakan diri,” katanya.
Mengembalikan rasa apresiasi sama, K. Manimaran yang sudah bekerja lebih 27 tahun dengan Alam Flora berharap orang tidak memandang hina pekerjaannya.

Berpuluh-puluh tahun berkhidmat, tidak pernah sekali dirinya merungut kerana baginya, apa yang dilakukan adalah satu tugas murni dan tidak semua orang ingin melakukannya.
“Semua orang di sini bekerja bagai satu keluarga. Bila-bila masa khidmat kami diperlu untuk lakukan pembersihan longkang atau terowong, kami sentiasa bersedia.
“Saya mula bekerja dengan Alam Flora sejak 1997. Cuci jalan raya dan longkang termasuk menyapu.
Semua supaya nampak bersih dan licin,” katanya bapa kepada tiga orang anak itu.
Ditanya tentang persepsi masyarakat umum terhadap kerjayanya, Manimaran tidak pernah terkesan dengan apa yang difikirkan orang lain. Baginya, tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah sesuka hati itu lebih teruk.
“Dengan kerja ini saya dapat membesarkan anak-anak sampai besar, dan sekarang dah bergelar datuk.
“Buat sahaja kerja, orang nak fikir kotor, itu masalah mereka. Kita sama-sama jaga kebersihan kerana ini tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Tidak kira muda atau tua, kata Manimaran, menjaga persekitaran adalah tugas semua orang dan atas sebab itu, dia menyeru kepada generasi muda agar tidak memilih pekerjaan.
“Di sini ada yang berusia 19 tahun macam Zamri seronok bekerja. Kita kerja sahaja asalkan dapat beri rezeki halal kepada keluarga, itu lebih daripada mencukupi.
“Saya harap lebih ramai anggota masyarakat terutama yang muda sama-sama menjaga kebersihan longkang agar tidak tersumbat sekali gus mengelakkan banjir. Generasi baharu inilah yang akan membentuk masa depan negara,” ujarnya.
Muhammad Zamri dan Manimaran juga amat terharu dengan sambutan Hari Pekerja Pembersihan (Garbage Man Day) yang disambut pada 17 Jun setiap tahun, yang menunjukkan bahawa jasa dan bakti mereka dihargai. -KOSMO! ONLINE