OHIO – Bayern Munich langsung tidak menunjukkan belas kasihan apabila membelasah pasukan dari New Zealand, Auckland City 10-0 pada aksi sulung Kumpulan C Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium TQL awal pagi semalam.
Berdepan pasukan yang terdiri daripada pemain-pemain separuh profesional, Bayern menunjukkan aksi penuh dominan apabila menguasai sepenuhnya permainan sehingga membolehkan mereka mencatat kemenangan besar.
Jurulatih Bayern, Vincent Kompany berkata, beliau memandang serius cabaran setiap pasukan selain menganggap perbezaan gol sangat penting memandangkan perlawanan selepas ini lebih mencabar.
“Kami berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan saya sentiasa tegaskan kepada semua pemain supaya memandang serius setiap perlawanan. Bagi saya, jaringan dan perbezaan gol sangat penting dalam kumpulan ini.
“Bukan mudah untuk menjaringkan 10 gol apabila berdepan pasukan yang mengamalkan corak bertahan, jadi ini membuktikan bahawa jentera serangan Bayern sangat berkesan ketika menjalankan tugas,” katanya.
Pada perlawanan itu, Jamal Musiala berjaya meledak hatrik manakala Thomas Muller, Michael Olise dan Kingsley Coman masing-masing menjaringkan dua gol dengan satu gol lagi dijaringkan Sacha Boey.
Sementara itu, Muller memuji aksi ditampilkan rakan sepasukan dan menganggap kemenangan itu mampu melonjakkan keyakinan menjelang perlawanan selepas ini menentang Benfica dan Boca Juniors.
“Kami bermain sangat baik dan penuh intensiti. Semua pemain bekerja keras bagi memastikan pasukan lawan tidak dapat mencipta peluang menjaringkan gol dan ia akan dikekalkan untuk aksi seterusnya,” ujarnya. – AGENSI