KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memaklumkan Kementerian Ekonomi tidak akan dibubarkan ekoran pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini.
Sebaliknya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, kementerian tersebut akan diterajui oleh menteri lain, namun perkara itu belum diputuskan.
“Saya fikir tak ada keperluan untuk dirombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat maju jaya kepada saudara Rafizi yang telah berkhidmat dengan begitu baik sebagai Menteri Ekonomi.
“Saya juga akan putuskan pada waktunya mana-mana menteri atau kementerian untuk menjalankan tugas (di Kementerian Ekonomi),” katanya selepas Majlis Perasmian Energy Asia di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada Kementerian Ekonomi akan diletakkan kembali di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Anwar berkata, tiada keperluan untuk mengembalikan perkara itu.
“Kita teruskan untuk sekarang (Kementerian Ekonomi) kerana tidak ada isu tidak ada masalah teruskan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE