PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah jabatan kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan melabur saham kira-kira RM50 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari hari ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020 hingga 2023 dengan melantik isterinya yang bekerja di sebuah bank sebagai ejen pelaburan bagi pelaburan saham berjumlah kira-kira RM50 juta.
“Siasatan awal mendapati suspek juga dipercayai menggunakan dana wang awam dan juga wang amanah tanpa kelulusan pegawai pengawal kewangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok untuk tujuan permohonan reman. – KOSMO! ONLINE