SEPANG- Sebanyak 143 buah mesin perlombongan bitcoin bernilai lebih RM171,600 berjaya dirampas dalam lima serbuan di daerah ini pada Jumaat lalu.
Lebih unik, risikan ke atas sindiket itu dimulakan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman sejak beberapa bulan lalu selain aduan orang awam.
Beliau berkata, serbuan pada Jumaat lalu di Bandar Baharu Salak Tinggi dan Putra Perdana itu turut menahan empat lelaki yang juga penjaga premis berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Operasi serentak bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang itu turut dibantu pasukan khas Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati, setiap premis mampu menjana keuntungan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan menerusi perlombongan bitcoin haram itu.
“Sindiket telah mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan perlombongan itu dengan kerugian kepada TNB mencecah RM86,089.10 sebulan. Secara keseluruhan, TNB rugi RM516,534 bermula Januari hingga bulan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE