SEBERANG PERAI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancakkan program bagi meningkatkan tahap kesuburan seterusnya membantu menambah populasi kadar kelahiran di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang bakal dilaksanakan turut membabitkan penyertaan kaum lelaki supaya pendedahan sewajarnya dapat diterapkan sekali gus menyedarkan masyarakat bahawa masalah ketidaksuburan juga boleh berpunca daripada golongan itu.
Katanya, walaupun kadar kesuburan keseluruhan (TFR) meningkat kepada 1.7 berbanding 1.6 tahun lalu, namun jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Jika sebelum ini kita melaksanakan program yang banyak memfokuskan kepada golongan wanita, namun kita mahu masyarakat sedar yang kaum lelaki juga boleh menjadi punca ketidaksuburan. Kita telah lancarkan program jelajah di Sabah untuk memberi pendedahan kepada kaum lelaki terutamanya apakah langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikannya.
“Ada banyak perkhidmatan yang disediakan antaranya Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membantu pasangan suami isteri menimang cahaya mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Insipirasi Wanita: Womenpreneurs – Shaping The Future Economy di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut memfokuskan industri perkhidmatan penjagaan bagi membolehkan golongan ibu kembali bekerja.
“Kita mahu ubah persepsi masyarakat iaitu dalam erti kata lain, kita mahu penjaga (caregiver) ini dilihat sebagai golongan profesional yang menjalankan tugas, bukannya orang gaji,” katanya. – KOSMO! ONLINE