fbpx

Jurutera ECER terima upah syor projek LTU didakwa 14 pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPRM mengiringi Muhamad Azly (kanan) selepas didakwa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Seorang jurutera kanan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 14 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM100,000 sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dalam tempoh 10 bulan.

Tertuduh, Muhamad Azly Abdul Aziz, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga jurutera kanan ECER, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya didakwa menerima suatu suapan iaitu wang tunai antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada seorang individu berusia 70 tahun.

Wang tersebut diberikan secara pemindahan dalam talian melalui akaun bank milik Afiq Aziz Enterprise sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek LTU Pakej 3 Gua Musang dekat sini ke Kampung Relong, Pahang.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Islamic Bank Berhad cawangan Jalan Maju di sini bermula 22 Disember 2022 sehingga 31 Oktober 2023.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI