PUTRAJAYA – Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika saingan mendapatkan tempat di universiti semakin sengit.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 86,589 calon ditawarkan di universiti awam, manakala 42,058 calon ditawarkan di politeknik, 20,427 kolej komuniti dan 1,483 orang di Mara Bahagian Pendidikan Tinggi.
“Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 17,693 dengan pecahan tawaran iaitu 16,189 bagi kategori B40, 590 orang kurang upaya (OKU), 593 atlet dan 321 Orang Asli.
“Selain itu, seramai 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat turut mendapat tawaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
KPT berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 349 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi ini dengan pecahan 41 sijil, 55 asasi, 252 diploma serta satu ijazah sarjana muda.
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” jelasnya.
Untuk rekod, tahun ini KPT telah menerima 223,624 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline®.
“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, KPT kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh
10 hari. Ia bermula dari 16 Jun pukul 12 tengah hari hingga 25 Jun pada pukul 5 petang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE