TRIO recurve wanita negara membawa misi besar untuk menempatkan diri dalam ranking 10 terbaik dunia apabila beraksi dalam Siri Kedua Piala Asia 2025 di Bukit Gombak, Singapura bermula hari ini hingga 20 Jun ini.
Empat pemanah disenaraikan iaitu Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini dan Nurul Izzah Mazlan dengan harapan mereka mampu menyerlah dalam usaha mengumpul mata ranking dunia.
Jurulatih recurve wanita kebangsaan, Arif Farhan Ibrahim Putra menjelaskan, kejohanan itu menjadi platform penting untuk melonjakkan ranking, sekali gus memberi peluang kepada skuad wanita menyertai program elit Road to Gold (RTG).
“Sasaran utama kita di Singapura adalah memperbaiki kedudukan dunia. Ini peluang keemasan untuk cuba tembus kelompok 10 terbaik dunia,” katanya.
Tiga pemanah utama negara iaitu Syaqiera, Ariana dan Nurul Azreena Mohamad Fazil sebelum ini telah diserap ke dalam Program Fast Track dan kini sedang dinilai untuk kemasukan penuh dalam RTG.
Bagaimanapun, Azreena tidak disenaraikan ke Singapura atas faktor taktikal semasa dengan keputusan akhir ditentukan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Jae Rak.
“Senarai atlet dibuat berdasarkan strategi dan keperluan pasukan semasa. Semuanya dinilai oleh jurulatih sendiri,” kata Arif.
Skuad negara menjadikan kejohanan di Singapura sebagai medan penting untuk mengutip mata ranking dan menguji kombinasi terbaik, menjelang misi memburu pingat emas di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.