JURULATIH Pakistan, Tahir Zaman menegaskan pasukannya tidak bergantung kepada rekod pertemuan menjelang aksi menentang Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.
Sebagai rekod, Pakistan sudah mencatat 20 kemenangan, lapan seri dan lima kekalahan menentang Malaysia sejak 1968 dan menyifatkan statistik lalu tidak relevan apabila pasukannya turun ke padang.
“Saya jujur, kami tidak bergantung kepada rekod. Hoki sekarang sudah berbeza, ranking dunia dan prestasi pasukan juga turut berubah.
“Saya lebih memberi tumpuan kepada apa yang terjadi di atas padang pada perlawanan nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pra-perlawanan di Kuala Lumpur semalam.
Tambah Tahir, beliau amat menghormati pasukan lawan selain menyifatkan Malaysia sebagai sebuah pasukan yang sangat bagus, lebih-lebih lagi apabila Speedy Tigers bermain di laman sendiri.
“Kami amat menghormati setiap pasukan lawan. Malaysia sebuah pasukan yang bagus dan lebih kuat apabila bermain di laman sendiri.
“Sudah pasti sokongan padu penonton dan suasana di stadium akan menjadi kelebihan tetapi saya percaya jika para pemain dapat menumpukan sepenuhnya kepada perlawanan, kami mampu memberikan saingan sengit,” ujarnya.
Pada masa sama, jurulatih berusia 56 tahun itu menjelaskan, Pakistan sudah belajar sesuatu berhubung corak permainan Malaysia ketika mereka seri 2-2 pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) tahun lalu.
“Kami belajar daripada perlawanan lalu ketika menentang Malaysia. Kami menyusun semula pendekatan dan strategi permainan, diharapkan ia mampu memberikan hasil diharapkan,” ujar Tahir.