KOTA KINABALU – Seorang lelaki cedera dipatuk ular sewaktu mengambil wuduk dalam kejadian berhampiran tandas Taman Awam Pantai Tanjung Aru semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata laporan diterima pihaknya sekitar pukul 2 petang oleh orang awam.
“Khidmat Petugas Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru terpaksa digunakan untuk memberi awal kepada mangsa yang berumur sekitar 30-an itu sebelum dihantar ke hospital.
“Anggota bertugas di menara segera ke lokasi bagi melakukan penilaian awal ke atas mangsa dan mendapati terdapat kesan patukan ular pada ibu jari kaki kanan mangsa.
“Mangsa memaklumkan ular yang mematuknya berwarna hitam dan mengeluarkan bunyi dengusan.
“Menerusi keterangan berkenaan anggota bertugas mengenal pasti ular berkenaan sebagai spesis ular tedung atau ‘spitting cobra’.
“Anggota bertugas memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka akibat patukan ular.
“Dalam masa yang sama menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu untuk meminta bantuan menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) menggunakan ambulans.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. -KOSMO! ONLINE.