KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) tidak berhasrat untuk memenuhi semua kuota 15 pemain import dibenarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC), Mohd. Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, skuad Sang Penyu merancang untuk mengambil maksimum empat pemain import sahaja.
“Dalam mesyuarat ahli lembaga baru-baru ini, kita bersetuju untuk mengurangkan pengambilan pemain import berikutan kedudukan kewangan semasa kelab tidak mengizinkan.
“Kita hanya akan ambil tiga atau empat pemain import bergantung kepada keperluan posisi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu hari ini.
Mohd. Fadhli Rahmi berkata, pengurusan TFC enggan mengambil terlalu ramai pemain import kerana bimbang tidak mampu membayar gaji.
Beliau berkata, fokus diberikan untuk memperkukuh pembangunan pemain muda tempatan yang berpotensi tinggi diketengahkan dalam saingan kompetitif.
TFC musim lalu dikemudi Badrul Afzan Razali yang mengakhiri saingan Liga Super di tangga kelima, menggunakan enam import, namun memutuskan cuma mengekalkan pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.
Lima lagi pemain import iaitu Nelson Bonilla (El Salvador), Ivan Mamut (Croatia), Ismaheel Akinade (Nigeria), Argzim Redzovic (Montenegro) dan Manuel Ott (Filipina) telah digugurkan. – KOSMO! ONLINE