KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas ditembak dua individu bermotosikal dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 10.50 malam.
“Sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun berada di restoran tersebut sebelum didatangani dua lelaki bermotosikal.
“Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ku Mashariman berkata, seorang mangsa mengalami kecederaan serius, manakala seorang lagi cedera ringan dan sedang dirawat di PPUM.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek terlibat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE