PETALING JAYA – Gabungan ilmu hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) mampu menjadikan para huffaz lebih versatil, sekali gus membolehkan mereka menyumbang secara aktif kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu juga membuka dimensi baharu dalam pemikiran masyarakat mengenai masa depan generasi al-Quran.
“Saya senada dengan para panel yang menekankan bahawa TVET perlu dilihat sebagai satu bentuk fardu kifayah kerana ia merupakan tuntutan ummah dalam membangunkan masyarakat hari ini.
“Saya juga bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa agama tidak pernah memisahkan antara kilang atau bengkel dengan masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook susulan penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Membangun Generasi Huffaz Berkemahiran’ sempena sambutan Hari TVET Negara 2025 di Melaka, malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kehadiran majoriti anak muda dalam program itu membuktikan minat terhadap pendidikan seimbang semakin subur dalam kalangan generasi baharu.
“Insya-Allah, kita akan terus memperkasa inisiatif ini agar dapat melahirkan lebih ramai huffaz berkemahiran yang bukan sahaja celik wahyu, tetapi juga cekap mengurus realiti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE