TEMERLOH – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melahirkan kebimbangan terhadap penularan ajaran sesat aliran Al-Ahmadiah yang dikesan berlaku di daerah ini, meskipun telah lama difatwakan haram oleh pihak berkuasa agama negara.
Baginda bertitah demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah, Kampung Paya Luas, di sini, apabila dimaklumkan terdapat individu yang cuba menyebarkan fahaman berkenaan kepada penduduk setempat.
“Ajaran ini telah diharamkan. Kenapa masih ada tiga, empat orang yang masih mahu menyebarkannya? Dari segi undang-undang dan fatwa, ia jelas menyalahi ketetapan agama,” titah baginda dengan nada tegas hari ini.
Menurut baginda, penyebaran ajaran salah seperti aliran Al-Ahmadiah boleh merosakkan akidah umat Islam dan menggugat keharmonian hidup masyarakat, khususnya di negeri ini yang sejak sekian lama berpaksikan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Baginda menegaskan bahawa rakyat Pahang perlu bersatu memelihara kesucian Islam daripada dicemari oleh fahaman yang menyeleweng, yang bukan sahaja bercanggah dengan akidah tetapi juga mampu menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
“Saya harap ada kebijaksanaan. Tolong nasihatkan mereka supaya jangan ajar sesuatu yang telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Ugama Islam Pahang,” titah baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua lapisan masyarakat, termasuk ketua kampung, penghulu, imam, ahli jawatankuasa masjid, kadi serta pihak polis supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam membanteras penyebaran ajaran sesat. – KOSMO! ONLINE