SHAH ALAM – Aspek kecuaian antara elemen disiasat berhubung kes letupan melibatkan serbuk karbaid di premis menjual buah-buahan di Jalan Gudang Nenas, Klang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini hanya membuka kertas siasatan inkuiri polis.
Katanya, insiden letupan tersebut disahkan akibat serbuk karbaid hasil pemeriksaan dilakukan bomba dan forensik polis.
“Pada mulanya, kita buka kertas siasatan inkuri sahaja, namun pada hari disiasat mengikut 286 Kanun Keseksaan iaitu kelakuannya cuai berkaitan bahan letupan.
“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau cedera akibat letupan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Beliau menambah, seramai empat individu telah diambil keterangan melibatkan pemilik kenderaan dan pemilik kedai tersebut selain menunggu laporan daripada Masjid Bandar Diraja Klang.
Jelas Vijaya, siasatan dalaman turut dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berhubung letupan itu.
Kosmo! semalam melaporkan dinding sebuah pejabat kedai buah runtuh selepas berlaku letupan dipercayai akibat serbuk karbaid dalam kejadian di Jalan Gudang Nenas, Klang.
Kejadian tersebut menyebabkan enam buah kereta yang sedang parkir di tepi masjid berhampiran turut terkesan. – KOSMO! ONLINE