SHAH ALAM – Kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan peranti kawalan had laju (SLD) ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas bagi mengurangkan risiko kemalangan maut dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Had pada SLD itu mengikuti Had Laju Kebangsaan yang ditetapkan bagi kenderaan berkenaan iaitu maksimum 90 kilometer per jam (km/j).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan pihaknya menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara berperingkat di seluruh negara.
“Peranti itu berperanan penting dalam mengelak pemanduan melebihi had laju ditetapkan terutama kenderaan membawa muatan berat atau penumpang.
“Penguatkuasaan SLD itu melibatkan bas ekspres dan persiaran selain kenderaan barangan berat bermuatan maksimum lebih 3,500 kilogram (kg),” katanya selepas merasmikan majlis penggunaan peranti itu di Ibu Pejabat Scania di sini, hari ini.
Menurut Anthony, semua bas ekspres dan persiaran serta kenderaan barangan berat yang didaftar bermula 1 Januari 2015 wajib mendapatkan pengesahan kefungsian dan laporan SLD.
Tegasnya, pengesahan itu perlu diperoleh daripada pengilang atau pengeluar kenderaan, bengkel atau fasiliti servis diiktiraf JPJ selain badan pensijilan bertauliah (Jabatan Standard Malaysia).
“Dokumen itu wajib diperbaharui setiap dua tahun dan ia perlu dibawa setiap masa bagi tujuan penguatkuasaan JPJ. Pengesahan kefungsian SLD akan bermula pada 1 Oktober depan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE